Jumaat, 15 November 2013

Sudah-sudahlah tu. Demi rakyatkah ini?

Teruja melihat suasana sidang parlimen di laman You Tube. Ternyata usul potongan elaun dan gaji Majlis Penasihat Menteri untk rakyat ditolak dengan penuh meroyan sekali. Apa - apapun,hmmm, malas lah nak ulas panjang-panjang. Biar anda sendiri menilai ye.



Semoga Malaysia ku aman hingga hujung nyawa

Selasa, 12 November 2013

Ayuh berpuasa Asy-Syura!! Ups..~~

Ketika Rasullah S.A.W ditanya berkenaan puasa hari Asy-Syura, Baginda menjawab ,"Puasa Hari Asyura menghapuskan dosa setahun yang lalu."(Riwayat Muslim)

Jika anda tidak berpuasa pada Hari Tasu'a : 9 Muharam, maka disunatkan berpuasa pada hari 10 dan 11 Muharam berdasarkan hadis, " Berpuasalah pada hari Asyura dan bezakan diri kalian dengan Yahudi, berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari selepasnya." (Riwayat Ahmad)

Photo: [admin] Puasa Asyura... 9 & 10 Muharram, 13-14 Nov 2013


Btw, thanks kepada Afif Afnan sebab belanja Prego tadi~~, Haha lain kali boleh belanja lagi. Abg bobby pulak lepas ni. Ups~



Tunggu kat Rumah Kedah makan bubur Asura pulak lepas ni..Ewww..

Peperangan ialah Jenayah Global. Siapa jadi mangsa?

Kini kita dapat menyaksikan pergolakan dunia semakin kerap berlaku.Sering sahaja benih kesengsaraan ditaburkan, pesanan pemimpin uswatuh hasanah dianaktirikan dan amanah tuhan agar senantiasa menjadi khalifah yang menegakkan kebenaran diabaikan.Ketika Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berucap di persidangan Gerakan Kesederhanaan Global di Kuala Lumpur, beliau menyatakan sudah tiba masanya para pemimpin dunia sedar daripada diulit mimpi dan mengamalkan dasar kesederhanaan bukannya peperangan. Persoalannya, bagaimanakah peperangan membentuk ancaman kepada keamanan dunia sehinggakan Malaysia menggesa agar dasar kesederhanaan global menjadi nadi utama penyelesaian konflik dunia?

Sudah menjadi adat, sebelum berlari kita berjalan, sebelum menelan kita mengunyah agar yang gelap diperterang, ayuh yang kabur diperjelas. 

Peperangan menurut Institusi untuk Ekonomi dan Keamanan sewaktu Sidang Media Pelancaran Indeks Keamanan Global 2013 bererti suatu tindakan yang melibatkan senjata antara dua pihak sehinggakan mencetuskan ketakutan dalam kalangan rakyat melalui tindakan keganasan, konflik yang tidak berkesudahan serta kemeruduman ekonomi yang berpanjangan. Maka, peperangan menukarkan cahaya kemajuan terus menjadi gelita kemunduran.
Tuntasnya, keamanan dunia bakal terancam melalui tiga indikator utama iaitu kesejahteraan rakyat, penyelesaian konflik serta ekonomi bersandarkan konsep penilaian yang telah dikeluarkan oleh Indeks Keamanan Global 2013.
Namun, bagaimanakah peperangan mengancam keamanan dunia?




Keganasan berleluasa, Rakyat dalam bahaya.

Kita sedar bahawa peperangan pasti melibatkan keganasan dan sudah tentu rentetan pelbagai siri keganasan dalam perang bakal memperjudikan nasib rakyat yang tidak berdosa. Semuanya berlaku atas ketamakan dua pihak besar yang tidak pernah mempedulikan nasib rakyat jelata. Akhirnya, gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah.
Lantaran itulah, kita perlu telusuri lembaran silam. Sejarah membuktikan peperangan telah mengorbankan ribuan nyawa serta banyak darah yang telah dijadikan korban tanpa ada rasa belas kasihan. Siapakah yang tidak ingat hampir 64 tahun tanah rakyat di Palestin di rampas oleh kerajaan haram Israel melalui Perjanjian Camp David pada tahun 1978? Tahukah anda,siri keganasan mereka berterusan sehinggalah peristiwa serangan besar-besaran oleh Israel terhadap Gaza. Angkatan Tentera Udara Israel telah menggunakan bom fosforus putih serta 100 tan ledakan bom pada tahun 2008 hingga 2009 yang telah mengorbankan hampir 1132 orang termasuk 670 orang awam Gaza serta 5100 orang tercedara. Sedih saya mengenangkan rakyat Palestin mati terseksa sedikit demi sedikit. Tidak cukup dengan itu agenda keganasan mereka diteruskan dengan membina penempatan haram Israel di kawasan Tebing Barat dan Gaza dengan menghambat keluar rakyat Palestin sewenang-wenangnya.
Natijahnya, kemusnahan bernilai 2 bilion dolar Amerika Syarikat telah dianggarkan, penghantaran bantuan kepada 360 000 orang bukan pelarian di Gaza serta sebanyak 1.1 juta rakyat Palestin yang menjadi pelarian berdasarkan fakta yang telah dilaporkan oleh Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Angka-angka kerugian ini membuktikan bahawa rakyat jua bakal menjadi bahana angkara persengketaan yang sengaja dicetuskan melalui peperangan.




Peperangan Tercetus, Konflik Tidak Selesai.

Dalam menyelesaikan sesebuah masalah yang berlaku, ada dalam kalangan pemimpin dunia mengambil jalan mudah melalui peperangan. Hakikat yang terjadi, masalah tidak selesai, krisis berpanjangan dan impian yang ingin dibina kini hanya ditiup bayu senja.
Suatu persoalan yang perlu diketengahkan untuk difikirkan, mengapakah konflik tidak bersudahan melalui tindakan peperangan? Hal ini demikian, kaedah yang digunakan dalam menyelesaikan konflik ialah salah dan sudah tentu kesannya turut negatif. Cuba kita lihat sahaja kaedah ketenteraan yang digunakan oleh kerajaan Mesir sementera untuk menamatkan konflik antara Pro-Mursi serta kumpulan pembangkang akhirnya membawa malapetaka kepada Mesir, keamanan yang ingin dikecapi tidak menjadi, sebaliknya rusuhan yang bertimpa-timpa terjadi sehinggakan mencetuskan kebimbangan kepada seantero dunia. Malah, isu konflik di Syria juga mengalami nasib yang sama apabila kempen perang dilancarkan oleh rejim Bashar Al-Assad terhadap kumpulan yang menentangnya telah menimbulkan keresahan kepada masyarakat antarabangsa.
 Kesannya, konflik seakan-akan tidak bernoktah, akhirnya negara juga menerima padah dan keamanan dunia turut menjadi mangsa.
Hakikatnya, dunia perlu sedar minyak tidak boleh disimbah sewaktu api marak. Sewajarnya yang digunakan itu ialah air dan sesungguhnya air yang dimaksudkan itu bukanlah jalan peperangan.

 Ekonomi Rebah selagi Perang Tak Sudah-sudah.
Pujangga Melayu selalu berpesan, dek nila setitik habis rosak susu sebelanga. Kata-kata ini selaras dengan kesan peperangan terhadap ekonomi dunia yang terjadi. Kita perlu sedar dek kerana peperangan angkara sesetengah pihak sahaja, ianya bakal memberi ancaman besar kepada seluruh dunia.





Ingatkah anda kepada pengumuman Y.A.B Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengenai rasionalisasi subsidi yang terpaksa dilakukan sehinggakan harga minyak negara meningkat sebanyak 20 sen? Malah, Agensi Penarafan Global, Fitch Ratings baru-baru ini menyemak kembali tinjauan penarafan kredit negara dan kebanyakan negara lain daripada stabil kepada negatif .



 Hal ini berlaku ekoran daripada pasaran harga mentah minyak dunia yang juga turut meningkat lantaran tindakan Amerika Syarikat yang bakal campur tangan terhadap konflik di Syria. Presiden Barrack Obama mengumumkan tindakan itu akibat perlepasan senjata kimia yang dilakukan oleh rejim Bashar Al-Assad terhadap kem kumpulan yang menentang kekejaman beliau. Seandainya, sejarah kita imbas kembali, Perang Dunia Kedua menjadi iktibar paling menyayat hati apabila seluruh penduduk dunia terpaksa bergelut dengan kadar inflasi yang mencanak. Antara yang lain, Amerika Syarikat sewaktu berperang dengan Iraq sewaktu tahun 2003 mengalami kerugian serta menanggung jumlah hutang yang besar akibat perbelanjaan tertinggi terhadap bidang ketenteraan.
Lihatlah, peperangan bukan sahaja merugikan pihak lawan ataupun yang melawan, bahkan negara yang tidak terlibat dan berkecuali turut menjadi mangsa keadaan ekonomi dunia yang kian mencabar disebabkan agenda peperangan yang tak sudah-sudah.



 Demi mengubah perkara ini sepatutnya kita belajar daripada kisah lampau kerana sejarah boleh berulang seandainya kita tidak pernah menjadikannya sebagai pengajaran.

Bangunlah, siapa pun diri anda. Sesungguhnya masyarakat dunia perlu insaf betapa peperangan memberi ancaman kepada keamanan dunia. Peperangan mengancam kesejahteraan masyarakat sedunia, penyelesaian konflik yang menemui jalan buntu serta ekonomi yang jatuh merudum. Ancaman ini hanyalah selesai seandainya peperangan ini tidak menjadi rencah utama dalam menentukan nasib serta masa depan dunia. 

Kerana itulah, Perang ialah Jenayah!