Kini
kita dapat menyaksikan pergolakan dunia semakin kerap berlaku.Sering sahaja
benih kesengsaraan ditaburkan, pesanan pemimpin uswatuh hasanah dianaktirikan
dan amanah tuhan agar senantiasa menjadi khalifah yang menegakkan kebenaran
diabaikan.Ketika Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berucap di persidangan
Gerakan Kesederhanaan Global di Kuala Lumpur, beliau menyatakan sudah tiba
masanya para pemimpin dunia sedar daripada diulit mimpi dan mengamalkan dasar
kesederhanaan bukannya peperangan. Persoalannya, bagaimanakah peperangan membentuk
ancaman kepada keamanan dunia sehinggakan Malaysia menggesa agar dasar
kesederhanaan global menjadi nadi utama penyelesaian konflik dunia?
Sudah menjadi adat, sebelum berlari kita berjalan, sebelum menelan kita
mengunyah agar yang gelap diperterang, ayuh yang kabur diperjelas.
Peperangan
menurut Institusi untuk Ekonomi dan Keamanan sewaktu Sidang Media Pelancaran
Indeks Keamanan Global 2013 bererti suatu tindakan yang melibatkan senjata
antara dua pihak sehinggakan mencetuskan ketakutan dalam kalangan rakyat
melalui tindakan keganasan, konflik yang tidak berkesudahan serta kemeruduman
ekonomi yang berpanjangan. Maka, peperangan menukarkan cahaya kemajuan terus
menjadi gelita kemunduran.
Tuntasnya,
keamanan dunia bakal terancam melalui tiga indikator utama iaitu kesejahteraan
rakyat, penyelesaian konflik serta ekonomi bersandarkan konsep penilaian yang
telah dikeluarkan oleh Indeks Keamanan Global 2013.
Namun,
bagaimanakah peperangan mengancam keamanan dunia?
Keganasan berleluasa, Rakyat dalam
bahaya.
Kita sedar bahawa peperangan pasti melibatkan keganasan dan sudah tentu rentetan
pelbagai siri keganasan dalam perang bakal memperjudikan nasib rakyat yang
tidak berdosa. Semuanya berlaku atas ketamakan dua pihak besar yang tidak
pernah mempedulikan nasib rakyat jelata. Akhirnya, gajah sama gajah bergaduh,
pelanduk mati di tengah-tengah.
Lantaran
itulah, kita perlu telusuri lembaran silam. Sejarah membuktikan peperangan
telah mengorbankan ribuan nyawa serta banyak darah yang telah dijadikan korban
tanpa ada rasa belas kasihan. Siapakah yang tidak ingat hampir 64 tahun tanah
rakyat di Palestin di rampas oleh kerajaan haram Israel melalui Perjanjian Camp
David pada tahun 1978? Tahukah anda,siri keganasan mereka berterusan
sehinggalah peristiwa serangan besar-besaran oleh Israel terhadap Gaza.
Angkatan Tentera Udara Israel telah menggunakan bom fosforus putih serta 100
tan ledakan bom pada tahun 2008 hingga 2009 yang telah mengorbankan hampir 1132
orang termasuk 670 orang awam Gaza serta 5100 orang tercedara. Sedih saya
mengenangkan rakyat Palestin mati terseksa sedikit demi sedikit. Tidak cukup
dengan itu agenda keganasan mereka diteruskan dengan membina penempatan haram
Israel di kawasan Tebing Barat dan Gaza dengan menghambat keluar rakyat
Palestin sewenang-wenangnya.
Natijahnya,
kemusnahan bernilai 2 bilion dolar Amerika Syarikat telah dianggarkan,
penghantaran bantuan kepada 360 000 orang bukan pelarian di Gaza serta sebanyak
1.1 juta rakyat Palestin yang menjadi pelarian berdasarkan fakta yang telah
dilaporkan oleh Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Angka-angka kerugian ini membuktikan bahawa rakyat jua bakal menjadi bahana
angkara persengketaan yang sengaja dicetuskan melalui peperangan.
Peperangan Tercetus,
Konflik Tidak Selesai.
Dalam
menyelesaikan sesebuah masalah yang berlaku, ada dalam kalangan pemimpin dunia
mengambil jalan mudah melalui peperangan. Hakikat yang terjadi, masalah tidak
selesai, krisis berpanjangan dan impian yang ingin dibina kini hanya ditiup
bayu senja.
Suatu
persoalan yang perlu diketengahkan untuk difikirkan, mengapakah konflik tidak
bersudahan melalui tindakan peperangan? Hal ini demikian, kaedah yang digunakan
dalam menyelesaikan konflik ialah salah dan sudah tentu kesannya turut negatif.
Cuba kita lihat sahaja kaedah ketenteraan yang digunakan oleh kerajaan Mesir
sementera untuk menamatkan konflik antara Pro-Mursi serta kumpulan pembangkang
akhirnya membawa malapetaka kepada Mesir, keamanan yang ingin dikecapi tidak
menjadi, sebaliknya rusuhan yang bertimpa-timpa terjadi sehinggakan mencetuskan
kebimbangan kepada seantero dunia. Malah, isu konflik di Syria juga mengalami
nasib yang sama apabila kempen perang dilancarkan oleh rejim Bashar Al-Assad
terhadap kumpulan yang menentangnya telah menimbulkan keresahan kepada
masyarakat antarabangsa.
Kesannya, konflik seakan-akan tidak bernoktah,
akhirnya negara juga menerima padah dan keamanan dunia turut menjadi mangsa.
Hakikatnya,
dunia perlu sedar minyak tidak boleh disimbah sewaktu api marak. Sewajarnya
yang digunakan itu ialah air dan sesungguhnya air yang dimaksudkan itu bukanlah
jalan peperangan.
Ekonomi Rebah selagi
Perang Tak Sudah-sudah.
Pujangga
Melayu selalu berpesan, dek nila setitik habis rosak susu sebelanga. Kata-kata
ini selaras dengan kesan peperangan terhadap ekonomi dunia yang terjadi. Kita
perlu sedar dek kerana peperangan angkara sesetengah pihak sahaja, ianya bakal
memberi ancaman besar kepada seluruh dunia.
Ingatkah
anda kepada pengumuman Y.A.B Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengenai
rasionalisasi subsidi yang terpaksa dilakukan sehinggakan harga minyak negara
meningkat sebanyak 20 sen? Malah, Agensi Penarafan Global, Fitch Ratings baru-baru
ini menyemak kembali tinjauan penarafan kredit negara dan kebanyakan negara
lain daripada stabil kepada negatif .
Hal ini berlaku ekoran daripada pasaran
harga mentah minyak dunia yang juga turut meningkat lantaran tindakan Amerika
Syarikat yang bakal campur tangan terhadap konflik di Syria. Presiden Barrack
Obama mengumumkan tindakan itu akibat perlepasan senjata kimia yang dilakukan
oleh rejim Bashar Al-Assad terhadap kem kumpulan yang menentang kekejaman
beliau. Seandainya, sejarah kita imbas kembali, Perang Dunia Kedua menjadi
iktibar paling menyayat hati apabila seluruh penduduk dunia terpaksa bergelut
dengan kadar inflasi yang mencanak. Antara yang lain, Amerika Syarikat sewaktu
berperang dengan Iraq sewaktu tahun 2003 mengalami kerugian serta menanggung
jumlah hutang yang besar akibat perbelanjaan tertinggi terhadap bidang
ketenteraan.
Lihatlah,
peperangan bukan sahaja merugikan pihak lawan ataupun yang melawan, bahkan
negara yang tidak terlibat dan berkecuali turut menjadi mangsa keadaan ekonomi
dunia yang kian mencabar disebabkan agenda peperangan yang tak sudah-sudah.
Demi mengubah perkara ini sepatutnya kita belajar daripada
kisah lampau kerana sejarah boleh berulang seandainya kita tidak pernah
menjadikannya sebagai pengajaran.
Bangunlah, siapa pun diri anda. Sesungguhnya
masyarakat dunia perlu insaf betapa peperangan memberi ancaman kepada keamanan
dunia. Peperangan mengancam kesejahteraan masyarakat sedunia, penyelesaian
konflik yang menemui jalan buntu serta ekonomi yang jatuh merudum. Ancaman ini
hanyalah selesai seandainya peperangan ini tidak menjadi rencah utama dalam
menentukan nasib serta masa depan dunia.
Kerana itulah, Perang ialah Jenayah!