Ahad, 26 Februari 2012

Peranan pemimpin dunia kearah keamanan sejagat (1)

         Esei yang dikarang waktu alam persekolahan sebelum SPM

               Junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda dalam sebuah hadis mafhumnya,"setiap dari kalangan kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpni bertanggungjawab ke atas pimpinanya,". Kini kita dapat menyaksikan pergolakan dunia semakin kerap berlaku. Sifat-sifat pemimpin dunia seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan kesanggupan para pemimpin dunia menjadi duri dalam daging menyebabkan dunia dibelenggu kejahilan serta kefasikan. Benih kesengseraan ditaburkan, pesanan pemimpin uswatuh hasanah dianaktirikan dan amanah tuhan agar senatiasa menjadi khalifah yang mengakkan kebenaran diabaikan.Ketika Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berucap di persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), beliau menyatakan sudah tiba masanya para pemimpin dunia sedar daripada diulit mimpi dan kini para pemimpin dunia perlu melaksanakan mekanisme yang terbaik menyumbang kejayaan kepada dunia berpangkalkan usaha keras untuk mengekalkan keamanan sejagat. Persoalannya, bagaimankah pemimpin-pemimpin dunia mampu merobah dunia dengan mewujudkan keamanan sejagat secara total?

       Kini, kita dapat menyaksikan pertumpahan darah di seantero dunia semakin menjadi-jadi. Perkara ini seolah-olah menjadi asam garam pada sesetangah negara. Sehubungan dengan itu, para pemimpin dunia perlu mencari kata sepakat dalam sebuah persidangan yang dilakukan oleh pelbagai pertubuhan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangs Bersatu, Pergerakan Negara-negara Berkecuali, Gerakan Kesederhanaan Global, Liga-liga Arab,Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC),ASEAN dan NATO.Sepanjang persidangan dijalankan para pemimpni dunia perlu menyuarakan pendapat masing-masing serta berfikir dalam usaha memakmurkan dunia yang kian tenat. Para pemipin dunia perlu merapatkan jurang perbezaan serta mencari titik persefahaman yang berupaya membawa dunia kearah lebih baik. Tamsilnya, Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang telah berjaya menghimpunkan seluruh ahlinya di ibu pejabat PBB, New York telah mencapai satu kata sepakat bahawa para pemimpin dunia akan berusaha memerangi keganasan dan mengurangkan ekstremis di negara berdaulat masing-masing. Selain itu, persidangan UNGA baru-baru ini yang bersidang untuk menyatakan persetujuan penubuhan negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bebas dari cengkaman negara haram Israel sewajarnya dipuji. Susulan itu, angota-anggota Liga Arab penubuhan negara Palestin merupakan satu perkara yang wajib diakui oleh semua angota-angotanya. Kemuncak persidangan Gerakan Kesederhaan Global di Kuala Lumpur baru-baru ini menjadi saksi betapa para pemimpin dunia berusaha memerah keringat serta membanting tulang empat kerat untuk menolak fahaman dan pemikiran ekstremis serta pemerintahan yang bersifat kuku besi.

                 Sementelahan itu, para pemimpin dunia perlu memainkan peranan penting dengan menghantar bantuan kepada negara-negara bergolak seperti Timor Leste, Afghanistan, Somalia, Kashmir, dan Palestin. Antara bentuk bantuan yang boleh dihulurkan ialah bantuan kemanusian,bantuan ketenteraan,bantuan perubatan dan bantuan kewangan. Tamsilnya, tentera-tentera di bawah panji PBB telah bersatu untuk men jaga kawasan sempadan negara Islam,Lebanon dan negara haram,Israel. Antara negara-negara yang terlibat ialah Malaysia yang senantiasa berusaha memeberi bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Selain itu, bantuan ketenteraan oleh ahli-ahli PBB di Sudan untuk menamatkan perang saudara antara Sudan Utara dan Sudan Selatan,Bosnia Herzevogina,Kashmir,Somalia dan Timor Leste meupakan usaha para pemimpini dunia untuk memulihkan keamanan sejagat. Di samping itu, bantuan kemanusian perlu dilaksanakan oleh ketua- ketua kerajaan yang memerintah sebuah negara. Sebagai contoh, usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah berjaya melaksanakan bantuan kemanusian di bawah Program Talian Hayat untuk Gaza yang terdiri daripada pelbagai negara. Kejadian pembunuhan sukarelawan Islam oleh Israel di atas kapal Mavi Marmara milik Republik Turki menunjukkan usaha untuk membantu Palestin bukanlah lagi satu perkara yang boleh dipandang enteng. Usaha untuk memberi bantuan kepada negara-negara bergolak tidak harus dilakukan secara sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga. Bantuan kemanusiaan oleh Malaysia kepada Somalia yang berada seperti telur di hujung tanduk wajar dicontohi. Susulan daripada itu,pengorbanan seorang rakyat Malaysia yang bersama-sama memberi bantuan kemanusiaan di Somalia perlu kita jadikan sebagai iktibar.

                                        Organisation of Islamic Conference

                                                                   
                   Sejauh manakah peranan pemimpin dunia dalam isu Palestin?

nantikan sambungannya..

Selasa, 21 Februari 2012

Sumayyah - wanita contoh sepanjang zaman

Sumayyah binti Khabath adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi hambanya.

Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.

Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa.

"Mereka sudah menyahut ajaran Muhammad walaupun ditegah oleh pihak atasan Quraisy. Kamu akan menerima balasan kerana ingkar perintah kami," kata Abu Jahal kepada pengikutnya sambil menarik keluarga Yasir yang terikat ke kawasan padang pasir di luar kota Mekah.

"Mereka tidak serik dengan hukuman kita walaupun pengikut agama yang dibawa Muhammad telah diseksa oleh kita," kata seorang bangsawan Quraisy yang berjalan di sebelah Abu Jahal.

"Kali ini saya tidak akan bebaskan mereka bertiga sehingga mereka mengaku berhala-berhala kita sebagai tuhan mereka," tegas Abu Jahal yang mengacah tombaknya ke arah keluarga Yasir yang diseret secara kasar oleh pengikut Abu Jahal.

Mereka berhenti di kawasan lapang yang dipenuhi bongkah batu besar. Yasir, Amar dan Sumayyah ditanggalkan pakaian mereka lalu diikat pada bongkah batu yang panas mendidih dipanah matahari padang pasir.Kaki dan tangan mereka diikat ketat sehingga tidak dapat bergerak seinci pun. Abu Jahal, pembesar Quraisy dan pengikut setianya ketawa melihat penderitaan ketiga beranak itu.

"Kamu akan diseksa dengan lebih teruk seandainya kamu tidak mahu meninggalkan agama yang dibawa oleh Muhammad. Kamu akan dibebaskan jika kamu sanggup mengaku berhala-berhala di kota Mekah ini sebagai tuhan kamu," Abu Jahal mula mengambil tali sebat bagi menakutkan Yasir, Sumayyah dan Amar.

"Kami tidak akan mengaku berhala-berhala itu sebagai tuhan kami. Hanya Allah Tuhan kami," balas Yasir dengan tenang.

"Saya beriman dengan Allah sahaja," kata Sumayyah pula.
"Berani kamu melawan kata-kata saya," api kemarahan Abu Jahal semakin membara mendengarkan kata-kata Sumayyah itu tadi.

"Ini balasan kepada kamu kerana enggan menerima berhala-berhala sebagai tuhan kamu," Abu Jahal dan pengikutnya mula menyebat tubuh Yasir, Sumayyah dan Amar dengan kejam. Hinggakan darah mengalir daripada tubuh mereka yang terikat pada bongkah batu yang panas dipanah matahari tengah hari.

Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.

Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka.

"Kita lihat berapa lama kamu boleh menahan seksa di tengah-tengah kepanasan matahari ini," sindir Abu Jahal sambil memandang wajah Yasir dan Sumayyah dengan bengis.

"Tiada tuhan melainkan Allah," kata Yasir, Sumayyah dan Amar merintih dalam kesakitan memakai baju panas.

Ahad, 19 Februari 2012

Aurat lelaki yang sering diremehkan


Artikel Oleh:  Ustaz Ahmad Baei Jaafar
Aurat lelaki seperti yang dinyatakan sebelum ini agak longgar kerana selain waktu bersendiri dan bersama isteri, aurat lelaki hanya antara pusat dan lutut sahaja. Maknanya kalau seseorang itu hendak melakukan solat, auratnya ialah cukup antara pusat dengan lutut, begitu juga kalau dia berada di khalayak ramai.

Berdasarkan itu, ramailah orang lelaki mengambil mudah dengan menyatakan harus kita berada dalam sesuatu majlis dengan hanya memakai seluar pendek sampai ke paras lutut. Sebab itulah barangkali kita sering melihat orang lelaki suka memakai seluar pendek ketika membasuh kereta di luar rumah.
Benar, jika mengikut hukum asal tidak salah memakai seluar pendek yang sampai ke paras lutut kerana itulah sahaja aurat bagi lelaki. Tetapi jangan lupa bahawa hukum itu perlu juga mengambil kira waktu berjalan dan duduk. Apakah ketika itu aurat lelaki tersebut masih terpelihara?
Bayangkan seorang lelaki yang hanya memakai kain sarung yang menutup pusatnya dan lutut. Solatnya sah kerana aurat bagi lelaki dalam solat ialah antara pusat dengan lutut. Tetapi bagaimana kalau dia rukuk, sujud, dan duduk antara dua sujud? Tidaklah lututnya ternampak? Sahkah solatnya ketika itu? Jawapannya ialah tidak sah.
Bagaimanapun pula kalau dia membasuh kereta dengan pakaian yang sama, sesekali dia akan tunduk juga. Adakah ketika itu tidak terbuka auratnya iaitu lutut? Kalaupun dia memakai seluar pendek yang labuh hingga ke paras lutut, waktu dia mencangkung akan ternampak lututnya. Tidak berdosakah dia ketika itu? Jawabnya tentu berdosa. Ya, kalau dalam solat tidak sah maka pada ketika waktu lain dia berdosa.
Bagi masyarakat kampung pula, mereka suka pakai kain pelakat yang digulung sampai ke paras lutut. Malah kadang-kadang ternampak pusatnya sewaktu terlondeh. Waktu berborak dengan kawan-kawan di serambi pasti tersingkap juga auratnya.
Bagaimana kalau dia melakukan solat dengan kain itu walaupun dilabuhkan di bawa lutut? Waktu rukuk dan sujud setidak-tidaknya akan ternampak pahanya oleh orang yang di belakangnya. Sahkah solatnya?
Begitu juga kalau si ayah memakai kain pelakat di dalam rumah bersama anak-anak, lalu pada waktu duduk terselak bahagian lututnya. Agaknya berdosa atau tidak ketika itu? Jawapannya sudah tentu berdosa kerana aurat ketika bersama mahram ialah antara pusat dengan lutut.
Kalau berdasarkan keterangan di atas adalah haram hukumnya, bagaimana keadaannya anak-anak muda yang suka memakai seluar pendek di dalam rumah, bersukan, main bola dan sebagainya? Seluar pendek yang dipakai mereka adalah di atas lutut, maka dalam keadaan itu dia bukan sahaja mendedahkan lututnya malah mendedahkan pahanya.
Nampaknya lelaki secara berleluasa mendedahkan aurat mereka tatkala bersukan. Apakah atas alasan bersukan aurat boleh didedahkan? Ya, kalau berhadapan dengan Allah sewaktu bersolat pun salah, betapa ketika berhadapan dengan orang ramai. Pada zaman ini, bukan sahaja orang yang dalam stadium yang melihatnya tetapi seluruh dunia melihatnya. Bayangkan berapa besar dosanya ketika itu.
Pakaian sukan tajaan Barat memang begitu. Hal ini kerana dalam teori sains, mereka yang memakai pakaian longgar dan menutup tubuh boleh melambatkan pergerakan. Tetapi teori itu ternyata tidak tepat apabila pelari pecut wanita Islam (dari Bahrain-kalau tak salah penulis) dapat mengalahkan pelari lain yang hanya sekadar memakai cawat dalam sukan bertaraf dunia baru-baru ini.
Selain itu, kalau benarlah teori itu, mengapa perlu pakaian itu diperkenalkan kepada pemain boling. Sukan itu tidak memerlukan pergerakan pantas. Barat menipu kita dan kita hanya menurut sahaja tanpa mahu membantah. Kita akur dengan peraturan itu demi sukan padahal kita belum berani berbincang secara serius untuk mohon pengecualian bagi atlet Muslim.
Bayangkan sudah berapa lama umat Islam melakukan dosa mendedahkan aurat dalam bidang sukan. Jika dalam hal ini kita sudah berdosa dengan Allah, bagaimana usaha kita untuk membentuk perpaduan melalui sukan seperti yang sering diuar-uarkan. Mahukah Allah merestuinya?
Pada pandangan penulis, cara berpakaian dalam sukan itulah yang menjadi sebab mengapa kurang penyertaan orang Islam dalam sukan. Sebenarnya mereka masih berminat untuk bersukan tetapi mereka tiada pilihan untuk bersukan. Akhirnya sukan dikuasai oleh orang bukan Islam.